Monday, July 18, 2011

Tahajjud Syifa 1

Transformasi aku dari seorang suami kepada seorang ayah

5/7/2011 (Selasa)

"Ikut kandungan ni,Puan pergi ke bangunan baru sana untuk scan dahulu,nanti baru diaorang bagi tahu camana nanti,ok...?"

Lebih kurang beginilah ayat yang isteriku beritahu pada aku selepas masuk ke dalam bilik bersalin di HTAR.
Aku pun sebagai `orang yang buta kayu' bab bersalin ni ikut sahaja lah apa yang pihak nurse beritahu.

"Diaorang nak cek dulu kot baby ni ok ke tak..." beritahu aku pada isteri.

Dengan keadaan parking hospital yang masih dalam renovation,kereta yang aku parking agak jauh,jadi mau tak mau,aku terpaksalah juga berjalan kaki bersama isteri yang agak `besar' perutnya. Kemudiannya,sekali lagi berjalan kaki ke dalam menuju ke bangunan baru untuk proses scan. Seperti biasa,pada hari - hari bekerja,hospital memang pack. Gelisah juga rasanya jiwa bila terkadang melihat perangai segelintir nurse yang agak kasar melayan pesakit.

"Janganlah bini aku dapat nurse yang garang macam ni...Amin...."

Seperti yang dijangka,kerana ke`buta kayu'an kami suam isteri mengenai prosedur bersalin,kami di tendang ke sana sini. Bila kami ke kaunter ini,di suruh pula ke kaunter itu,bila ke kaunter itu,disuruh pula ke kaunter depan.

"Pergi register depan dulu..pergi..pergi..." seorang nurse menyuruh kami dengan agak kasar supaya register di kaunter depan dahulu.

Terdetik dalam hati aku "Kalau orang yang tengah sarat pun layan macam ni,kalau yang tak sarat mahu kena maki free..." Tapi aku cuba menyejukkan hati dengan "Ramai orang nak kena layan,mestilah tension.
Takpelah..."

"Terima kasih kak..." Aku menjawab lembut sebagai `balasan' pada `bahasa' yang di gunakan.

Akhirnya kami berjaya juga menemui `prosedur yang sebenar' untuk menjalani proses scan ini. Dan satu lagi proses yang aku kena lalui,iaitu `Menunggu...'

Selepas register,isteriku di panggil ke satu bilik khas yang mana semua ibu-ibu mengandung yang telah melangkaui tarikh bersalin akan berkumpul di sana untuk di buat pemeriksaan lanjut..bersama scan lah. Ketika itu,aku terpisah sementara kerana di bilik itu `No Guys Allowed',jadi aku terpaksalah menunggu di luar.

Dari berdiri hingga ke duduk,dari duduk sehingga kebas punggung,operasi `scan' yang di beritahu masih lagi belum tamat. Mujur aku ada bawa dua buah buku untuk di baca kerana minat membaca aku semakin menjadi-jadi pula semenjak isteriku mengandung. Dua buku yang aku bawa iaitu `U Turn Ke Jalan Yang Lurus' tulisan Ust Zul Ramli dan juga 'Aku Terima Nikahnya' tulisan Ust Hasrizal.

Helaian demi helaian buku karangan Ust Zul Ramli aku baca,aku cuba teliti dan fahami,namun masih lagi belum habis lagi operasi `scan' tersebut. Hati ini mula menerawang jauh mencari jawapan sendiri kepada soalan yang aku tanya pada diri aku sendiri iaitu "Kenapa lama sangat ni...?". Lazimnya,manusia akan berfikir yang buruk dahulu,termasuklah aku. Segala jenis mak nenek cerita turun temurun,mitos-mitos dan cakap-cakap orang mengenai segala jenis masalah ketika bersalin mula berlumba-lumba menerjah litar fikiran minda aku ini.

"Songsang ke...atau ibunya tak boleh lahirkan normal...atau baby ada masalah...atau......Astaghfirullahal a`zim.....apa aku duk fikir ni..."

Seketika aku terlupa yang Allah itu penentu takdir perjalanan hidup aku dan isteriku.Sepatutnya aku redha dengan apa sekali ketentuanNya seperti yang pernah aku pesan pada isteri aku ketika kami sama-sama solat hajat memohon di permudahkan urusan kelahiran zuriat pertama kami.

"Ayang,ni saya pesan ek.Semua apa sekalipun yang berlaku ni dari Allah.Segala kesakitan yang Ayang akan lalui pun dari Allah. Sebenarnya ini adalah satu jihad yang walau apa pun kesudahannya,ganjarannya adalah terlalu besar yang sukar untuk dinikmati oleh saya sebagai seorang lelaki,kerana jika Ayang berjaya melahirkan zuriat kita ini,walau sesakit mana pun ia,maka segala kesakitan itu adalah penghapus dosa malah Ayang diberikan ganjaran yang besar oleh Allah kerana sakitnya bersalin itu seperti Ayang berada di medan jihad.."

Aku menyambung lagi...

"Dan andainya kesudahannya tidak seperti yang di harapkan,maka nafas terakhir Ayang itu adalah nafas Syahid,sesuatu yang saya perlu dapatkan dengan berbekal senjata dan turun ke medan perang. Dan juga,andainya kesudahan untuk zuriat kita ini juga tidak seperti yang di harapkan,maka ketahuilah bahawa,anak itu akan menanti di pintu syurga mencari-cari akan ibu bapanya untuk di bawa ke syurga bersama dengannya..."

"Tapi kita sama-sama berdoa pada Allah agar segala jenis kesulitan di saat sebelum,semasa dan selepas proses kelahiran ini di jauhi kerana hanya Allah yang mengetahui dan menentukan Qada dan Qadar. Ini je yang saya boleh katakan kerana saya takkan rasa dan lalui,Ayang yang akan rasa. Nanti kalau cakap lebih lebih,Ayang kata orang `cakap boleh la,bukan awak yang rasa' pulak kat saya..."

Isteri aku mengangguk tanda faham.

"Harap pada waktu itu,Ayang ingat Allah banyak-banyak.Mungkin kesakitan itu adalah penghapus untuk dosa Ayang yang lepas-lepas.Dan jangan banyak sangat merungut ye..." Isteri aku menjeling pada aku dengan kata-kata itu sambil tersenyum kerana isteri aku tahu akan perangai suka merungutnya itu sukar di kawal.

"Sebelum apa-apa,saya nak minta maaf pada Ayang sepanjang saya jadi suami pada Ayang,saya banyak melukakan hati Ayang,buat Ayang marah dengan sikap saya.Saya akan cuba baiki diri saya untuk menjadi suami yang terbaik untuk Ayang dan bapa yang Mithali untuk zuriat kita,Insyallah.Di harap Ayang pun turut serta dalam proses perubahan ini kerana saya tak mahu cuma saya yang berubah tetapi saya mahu,kita yang berubah.Berubah dengan lebih dekatkan diri dengan Allah dan berusaha menjauhi yang di larang dan juga berusaha memperbaiki diri.Mudah-mudahan,Insyallah...". Aku kucup tangan isteri aku sebagai tanda memohon maaf kerana mungkin selepas ini aku tidak lagi bersama dengannya kerana Allah berkuasa menentukan segalanya.

Terpancar air mata dari naluri seorang isteri,teresak hiba dengan kata-kata aku tadi.

"Ayang ni,patut saya yang minta maaf dulu. Saya kan isteri". Teresak-esak sambil mengelap hingus.

"Ayang,saya minta maaf selama mana saya jadi isteri pada Ayang,saya sakitkan hati Ayang,tak dengar cakap Ayang,tak ikut apa Ayang suruh. Saya harap Ayang bersabar kerana saya hendak berubah...tapi harap Ayang berikan saya masa...Saya minta maaf Ayang,halalkan makan minum...."

"Bang kerusi ni ada orang ke?"

Terhenti sebentar lamunan aku tadi dengan pertanyaan itu.Kulihat seorang lelaki sambil tersenyum sambil tangannya menunjuk ke arah kerusi di sebelah aku.Aku pun tersenyum menggelengkan kepala sambil memandangnya,menandakan kerusi itu masih available.

Sedarnya aku dari flashback tadi,aku menyambung kembali pembacaan aku pada buku Ust Zul Ramli tadi.Aku suka dengan huraian bab pertama buku ini iaitu mengenai lupa.Aku selalu memandang negatif pada sifat lupa,tetapi aku terlupa yang sifat lupa itu juga adalah anugerah Allah.Bayangkan jika aku masih lagi teringat akan pedihnya putus cinta di zaman cinta monyet dahulu hingga kini.Mungkin kerana mengenangkan `kepedihan' itu,aku tiada semangat untuk bekerja,tiada selera untuk makan kerana meratapi perpisahan itu,malah mungkin aku tidak akan berkahwin!! Dan kerana hikmahnya lupa ini,aku boleh melupakan memori episod luka cinta monyet aku dulu dan meneruskan hidup hingga sekarang!! Teringat kembali itu mungkin,tetapi kesegaran memori itu mulai hilang segarnya kerana sedikit demi sedikit di padamkan dengan kuasa yang ada pada sifat lupa.

Jadi,ada hikmah bukan di sebalik sifat lupa?

Aku masih lagi menunggu,menunggu dan menunggu.Sudah hampir habis buku ini aku baca,tetapi masih lagi belum selesai operasi `scan' tersebut. Aku meneruskan selakan helaian lembaran ke bab yang seterusnya.
"Hah,bab last ke ni? Sampai nak habis dah aku baca buku ni,tak habis lagi scan?"
10 minit aku perlukan untuk mengkhatamkan bab terakhir buku ini,namun masih lagi belum berakhir operasi `scan' itu.

"Nasib bawak dua buku..." Aku mula membelek akan buku kedua yang aku bawa yang bakal menjadi teman aku untuk jam-jam seterusnya iaitu `Aku Terima Nikahnya' tulisan Ustaz Hasrizal.

"Ayang,dah..."

Suara yang aku tunggu-tunggu akhirnya muncul.Akhirnya selesai juga.Alhamdulillah.

"Apa doktor cakap?" Aku bertanyakan soalan yang aku tidak sabar menanti jawapannya.

"Doktor kata,baby ok.Maknya pun ok.Cuma doktor bagi masa dua hari lagi.Kalau tak sakit jugak,baru masuk wad terus.." sambil isteri aku menunjukkan buku laporan perkembangan bayi berwarna pink yang sudah puas di bawa kesana kemari.Cuma kali ini buku itu sudah ber`tag' `Admission'.

"Tunggu lagi dua hari? Jumaat kalau tak sakit jugak,confirm masuk wad lah ni. Ni dah ada tag Admission dah ni..." Aku cuba menerangkan pada isteri aku.

"Admission tu apa?" Isteri aku bertanya pula.

"Jom balik dulu ek,nanti kat rumah saya terangkan Admission tu apa ye...."
 

No comments:

Post a Comment