8/7/2011 (Jumaat)
2 hari yang aku setia menantikan debarnya sudah berlalu.2 hari yang aku harapkan berlaku apa yang aku fahami sebagai `sakit nak bersalin' berlalu begitu sahaja tanpa ada sebarang perubahan.Namun pagi itu,isteri aku seperti agak liat untuk bangun Solat Subuh,tidak seperti selalu.
"Ayang,bangun Yang...Subuh nak habis dah ni..."
Isteri aku cuma mengiyakan tetapi masih lagi terbaring.Aku mendekatinya dan mengejutkannya dengan menggerakkan kakinya.Kali ini isteriku mulai bangun untuk duduk di tepi katil.Sayup-sayup perkataan yang aku dengar dari bibirnya iaitu..
"Takut...."
Aku memahami akan situasi yang isteri aku lalui.Debarannya tidak sama seperti interview kerja,juga tidak sama dengan debaran takutkan hantu.Ini adalah debaran seorang isteri yang mula membayangkan akan betapa sakitnya rasa yang bakal di lalui nanti.Apatah lagi,dengan momokan pelbagai kisah yang menerjah mindanya mengenai sakitnya bersalin secara paksa ini.Lagi pula,malam sebelumnya,kakak kandungnya menerangkan akan panjang lebar mengenai sakitnya bersalin secara paksa ini.
"Nanti bila dia dah masuk ubat nanti,dia punya sakit,tak tau lah aku nak cakap...Ubat tu dia nak bukak kau punya urat saraf tu secara paksa.Tu yang sakit tu.Time tu pinggang aku dia punya sakit,Tuhan je la yang tahu...." Kakak kandungnya menerangkan dengan panjang lebar.
Bagaimana aku nak memberikan kata-kata semangat pada isteri aku sedangkan aku sendiri pun tidak pernah atau paling tepat,tidak akan merasa akan kesakitan yang bakal di hadapi.
Aku duduk di sisi isteriku sambil menggenggam tangannya dan meletakkan kepalanya di bahu aku.
"Ayang,Ayang kena kuat.Macam saya bagi tahu hari tu,ini semua jihad,dan yang pasti ini semua dari Allah.Sakit,senang susah,mudah,hidup,mati semua dari Allah ye. Ayang bangun,Solat Subuh kemudian berdoa pada Allah minta dipermudahkan kelahiran zuriat pertama kita ni,okay....?"
Airmata isteriku mula keluar.Mungkin perasaannya waktu ini sangat tidak tenteram,tetapi walau sesakit mana pun ia,ia mesti di hadapi.
"Okay..." isteri aku membalas lembut sambil mengesat airmatanya. Dia mulai bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk.
Aku berdoa di dalam hati "Ya Allah,Kau permudahkanlah kelahiran zuriat ku ini..."
Mengenang kembali dari hari-hari terawal aku di beritahu akan isteriku mengandungkan zuriat aku yang pertama,aku mula mencongak akan makanan `rohani' dan `jasmani' untuk zuriat aku ini. Segala jenis makanan dan minuman yang aku selidik berkhasiat untuk bayi aku berikan pada isteriku.
"Ni susu kambing ni bagus untuk antibodi baby,biar nanti tak kena kuning.Lagipun nanti akan membanyakkan susu...."
"Ni Air Zafaran ni bagus untuk perkembangan minda baby dalam perut sebab air ni dari Tinta Zafaran yang banyak khasiatnya...."
"Ni pulak,Air Zam-Zam ni biar baby dengan maknya sihat.Baca Al Fatihah,pastu minum dan niat ye...."
"Ni pulak Air 30 juzuk yang saya beli dekat Ustaz Maahad Tahfiz yang selalu datang kat Surau tu.Minum selalu ye,biar terang sikit hati...."
"Ni kismis Tok Guru ni,makan selalu ye....Ni buah kurma ni pun makan selalu ye...."
Berbagai-bagai jenis makanan berasaskan ayat suci Al Quran yang aku selidik akan khasiatnya aku belikan untuk isteriku. Kalau nak di ikutkan harga,sememangnya mahal,tetapi apa nak di bandingkan dengan nikmat zuriat yang Allah berikan ini.
"Ni je dah seratus lebih ni Yang,kan...?" pernah isteriku bertanya pada aku melihat kepada bungkusan plastik yang sarat dengan susu kambing dan air Zam-Zam.
"Minum je lah. Inikan untuk baby jugak....." aku memberitahu isteriku sambil minda aku tercongak-congak akan budget yang sepertinya sudah agak lari dari plan aku yang asal.
"Alamak,budget lari..." aku berbisik di dalam hati. Tapi aku yakinkan diri yang rezeki ada dimana-mana,namun zuriat belum tentu semua manusia di kurniakan anugerah itu.
"Dah siap..jom...." isteriku sudah bersedia untuk ke hospital. Wayang flashback aku terputus sementara.
"Okay..jom.." Aku yang sememangnya sudah bersedia dari tadi melangkahkan kaki keluar dari rumah yang aku diami dan mengunci pintu dan membaca doa menghindari bencana.
"Bismillahillazi La Ya T`hurru ma a`s mihi Syai u`n fil Ar thi wala fissama`,Wahuwal A`liyyul A`lim..."
***********
Hospital adalah tempat yang agak asing bagi aku kerana betapa tidak kerapnya aku ke hospital,kecuali jika di perlukan. Namun mulai hari ini,mungkin aku akan bermustautin sementara di hospital ini kerana isteriku sudah ditempatkan di katil nombor 15.
"Ni bila nak masuk ubat ni Yang?" aku bertanya pada isteriku.
"Ntah.Esok kot..." isteriku menjawab dengan tidak yakin.
"Norfazilah,ikut saya ye..." seorang nurse memanggil nama isteriku.
"Hah,tu dah panggil tu..pergi lah...." aku menggesa isteriku supaya segera bangun menuju ke arah nurse tersebut.
"Encik,suami tak boleh tunggu di atas ye.Nanti datang balik waktu melawat ye.Bawa barang-barang keperluan isteri sekali..." seorang nurse memberitahu aku akan prosedur wad hospital.
"Oh..Okay..." aku tersipu malu dan bingkas melangkahkan kaki keluar dari wad tersebut.
"12.30 sampai pukul 2.00.Hari ni Jumaat.Setengah jam aje dapat stay..." aku merungut sendirian.
Waktu ini handphone buruk aku bertalu-talu berdering.Dari bapa kandung,kakak kandung,kakak ipar,bapa mertua,ibu mertua semuanya bertanyakan keadaan isteriku.
Satu jawapan yang pasti "Belum lagi....."
Penantian ke angka 12.30 pm aku cuba lupakan dengan membaca buku lagi.Buku karangan Ustaz Hasrizal yang masih aku belum mulakan ekplorasi minda ustaz itu melalui tulisannya. Ternyata dari helaian pertama buku itu,aku mulai asyik dengan coretan minda yang di terjemahkan melalui perkataan.
Antara ayat yang menarik minat aku ialah "Mungkin anak tidak mampu menurut kata ibu bapanya,tapi yang pasti ia akan mengikut apa ibu bapanya lakukan..."
Ini bermakna,ibu bapa perlu berubah untuk menjadi contoh yang terbaik untuk anak nanti. Kesimpulannya mudah,aku tak mahu anak aku menjadi seorang yang cenderung pada muzik,jadi aku sendiri perlu memulakannya dengan cuba menjauhi aktiviti muzik. Bagaimana aku hendak membentuk seorang anak yang dilarang mendekati muzik tetapi bapanya sendiri bermain muzik? "Papa kata jangan main muzik,tapi papa main boleh pun..."
Apakah jawapan yang paling wajar untuk aku jika soalan begitu di ajukan?
Seringkali ungkapan melayu "Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi" di beritahu pada abah jika melihat pada bakat yang aku perolehi ini. Aku tak pasti sama ada abah gembira dengan bakat yang aku ada atau hiba kerana aku tak menjadi seperti yang di impikan abah.
Takdirnya aku tersedar dari mimpi indah buaian muzik ini seawal tahun ini setelah kandungan isteriku mencapai 3 bulan. Aku mula merasakan yang dunia lagha aku ini mula menguasai iman. Aku mulai merasakan aku tak mampu hidup tanpa muzik. Sedikit demi sedikit iman mula menipis. Solat aku selama ini mula hilang khusyuknya kerana terlalu banyak nota-nota muzik yang melintasi minda. Tempoh 15 tahun menjadi hamba pada bunyi strumming gitar,pada lenggok suara,pada asyiknya hentakkan drum yang pastinya melekakan aku yang amat lemah imannya.
"Aku aktif muzik pun,aku aktif gak solat..aku mengaji jugak,aku pergi kuliah jugak..." seringkali kata-kata memujuk hati ini menjadi teman sepanjang masa.
Aku tak pernah salahkan muzik kerana muzik itu kadang kala keperluan minda,namun aku salahkan diri aku kerana gagal memelihara iman kerana muzik. Minat yang terlalu mendalam aku pada muzik ini yang kadangkala menyebabkan aku mula memandang remeh soal halal haram,mula mencari fatwa sendiri dan mula mempertahankan apa yang Islam telah gariskan sebagai Lagha yang boleh membawa kepada Haram.
"Aku nak ke anak aku nanti menjadi pewaris pada dunia lagha yang aku perjuangkan..?"
Zuriat ini adalah pembuka jalan untuk aku mencari jalan mendekati Allah. Kerana itu aku bersyukur dengan kurniaan ini. Dan aku tidak menganggap aku ini di berikan hidayah kerana hidayah itu telah lama ada,cuma aku yang tidak mengaplikasikan hidayah.
Jika aku kenang kembali akan tanggungjawab aku yang amat berat ini,aku mulai takut akan apa yang di panggil suami dan ayah. Dua gelaran yang boleh membawa aku ke syurga atau ke neraka dengan mudah. Segalanya di tanggung oleh aku,dari kehidupan dunia hingga ke kehidupan akhirat. Terkadang hati ini menangis terluka jika terdengar bait-bait kata umpatan dari lidah isteri aku yang fasih menuturkan kata-kata kejian. Terkadang hati ini sebak jika kadangkala isteriku mengambil mudah soal aurat. Terkadang hati ini sangsi akan sayangnya isteri aku pada aku jika nasihat aku terkadang di abaikan.
"Adakah isteriku benar-benar sayang pada aku?"
" Kalau benar isteriku sayang pada aku,mengapa isteriku sanggup membiarkan aku menanggung dosanya?"
"Kalau benar isteriku sayang pada aku,mengapa isteriku sanggup membiarkan aku ke neraka di akhirat nanti kerana perilakunya di dunia? "
"Adakah benar isteriku ini sayang pada aku?"
"Aku tak mahu sekadar di sayangi di dunia,tetapi di akhirat juga..."
Seringkali ungkapan ini bertanya ke dalam hati.Namun kesabaranlah yang menjadi teman,kesabaranlah yang menjadi perisai dan kesabaranlah yang menjadi kekuatan untuk aku terus mendayung arus bahtera perkahwinan ini.
Fikiran aku yang melayang mula tersedar dengan suasana yang agak bising di pintu masuk pelawat. Jam di tangan menunjukkan jam 12.30 pm.
"Patutla bising,dah waktu melawat..."
Tingkat 1 wad 1A memang tingkat yang aku tak memerlukan lif untuk naik. Aku merasakan lebih pantas dengan menggunakan tangga. Cuma dengan beberapa beg keperluan yang mungkin sedikit meletihkan.
Namun apalah sangat dengan keletihan yang bakal isteri aku hadapi nanti.
"Dah cucuk dah...?" Aku bertanyakan pada isteriku melihat sudah ada jarum bersalut plastik di tangannya.
"A`ah.Nurse gi ambik darah tadi.Sakit ni.Berdenyut-denyut.." isteriku membalas.
"Janganlah banyak gerak.Nanti keluar darah pulak.."
Isteriku mengangguk tanda faham.
"Ni saya tak boleh nak lama ni. Hari ni kan Jumaat.Nak apa-apa cakap,nanti saya bawakkan petang ni. Bila leh masuk ubat ni?" aku bertanya.
"Ntah lah Yang. Akak yang depan tu dah 3 hari dah kat sini,masuk ubat pun belum.Akak yang tu pulak dah 2 kali masuk ubat,tapi tak jugak sakit-sakit..." isteriku cuba menerangkan pada aku.
"Yeke..? Mak ai..Ni mau seminggu Ayang kat sini ni....Apa pun tak boleh...!!!" Aku menggunakan tagline dari Kumpulan Jambu dari rancangan Maharaja Lawak.
Di saat aku mendengar segala keluhan serta keluh kesah isteri aku sepanjang pagi ini di wad,aku mula tercari-cari di mana arah kiblat wad ini. Dalam keadaan begini sememangnya sukar untuk isteri aku bergerak ke surau di tingkat bawah.
"Ayang,ni dalam ni ada sejadah dengan telekung ye. Nanti solat je kat sini,bentang sejadah. Tak yah nak gerak jauh-jauh.." aku memberitahu.
"Ni tangan ni macamana? Nurse kata tak boleh kena air..." isteriku mengadu.
"Ayang,ambil la wuduk cam biasa,tapi janganlah kenakan bahagian yang tak boleh kena air tu basah-basah. Sikit-sikit je....Jangan tak solat pulak..." aku mula membebel.
"Nanti time Ayang sakit,menjerit sakit minta tolong pada Allah,automatik ingat pada Allah,tapi time tak berapa sakit ni la nak kena ingat Allah dulu. Jangan time sakit aje baru nak ingat..." aku menambah.
"Okay,okay...Yelah....Kiblat nanti saya tanya nurse.."isteri aku menjawab. Sememangnya isteri aku memang tak suka aku membebel kerana aku bukan seorang yang suka membebel,namun bila aku mula membebel maka sedialah kerana segala macam hukum aku akan keluarkan.
"Saya turun dulu ye...." aku meminta kebenaran untuk ke masjid kerana waktu Solat Jumaat semakin hampir.
"Okay.." isteriku mencium tangan aku dan aku membalas dengan kucupan di dahinya.
Melihat kepada keadaan isteriku,memang agak sukar untuk melaksanakan kewajiban sebagai seorang hamba pada Penciptanya. Tangan yang sudah berjarum,perut yang sedang sarat,kaki yang sudah mulai sembap dan berbagai macam jenis masalah lagi. Tetapi adakah itu penghalang untuk meninggalkan solat? Inilah yang aku sentiasa tegaskan pada isteriku setiap masa,kerana tanpa solat,adakah layak kita memohon serta berdoa padaNya sedangkan sujud menyembahnya pun kita tak mahu?
Kerana itu aku berikan pelbagai cara dan alternatif pada isteriku dengan cara yang paling mudah asalkan solat di laksanakan. Sama ada dengan duduk,baring atau apa saja. Bagi aku mudah,aku tak mahu nanti hanya di saat sakit itu tiba,tanpa disuruh malahan bingkas lidah akan menyebut nama Allah kerana meminta pertolongan namun di saat rasa sakit itu beransur hilang,solat mula di abaikan kerana lupa yang kita ini cuma hamba yang meminjam nikmat yang di kurniakan.
Bukan ke itu yang di namakan hipokrit malah lebih teruk lagi munafik..??
Dan ini adalah tanggungjawab aku untuk membimbing,mendidik dan menegur.
Menjelang waktu melawat sesi petang,aku tiba lewat melawat isteriku. Terlalu banyak yang aku perlu selesaikan. Mengemas rumah,mencuci baju,menyediakan keperluan isteri di hospital dan menunaikan permintaan selera isteri yang teringin hendak menyantap nasi goreng kampung daging lebih.
"Tak apalah,lepas ni 2 bulan cuti makan sedap" bisik aku di dalam hati.
Malam itu adalah malam pertama aku tidur di HTAR,malam pertama aku tidur di dalam kereta dan malam pertama aku perlu menanti akan kelahiran zuriat aku yang pertama! Bila? Mungkin esok,mungkin lusa....KepadaMu aku berserah dan kepadaMu aku memohon......
No comments:
Post a Comment